Wednesday, August 10, 2011

Program Pembangunan Pelajar Terbilang & Berkemahiran Negeri Terengganu 2010


KEMAMAN, 13 Jun 2011: Kejayaan pengendalian kursus Program Pembangunan Pelajar Terbilang & Berkemahiran Negeri Terengganu 2010 mencerminkan manfaat yang diperolehi oleh peserta yang terdiri dari lepasan SPM dari seluruh negari Terengganu hasil usaha kerajaan negeri untuk melatih dan memberi pendedahan pelajar lepasan SPM berkenaan kemahiran yang terdapat di IPT negeri Terengganu khususnya di TATIUC. Ternyata peserta memperoleh manfaat berguna terutama dari segi peningkatan kemahiran hasil daripada kursus yang diikuti di TATIUC. Kemudahan dan kepakaran tenaga pengajar yang ditawarkan pihak TATIUC dimanfaat sepenuhnya untuk memberi latihan dan pengetahuan kepada peserta kursus. Ramai peserta kursus yang sebelum ini tidak mengetahui kursus-kursus yang terdapat di TATIUC telah terdedah dengan ilmu-ilmu kemahiran yang terkini yang boleh menyumbang kepada minat peserta untuk lebih mendalami ilmu tersebut dalam masa terdekat . Pihak TATIUC turut berbangga dengan hasil usaha ini kerana secara tidak langsung TATIUC turut menyumbang kemudahan dan kepakaran dalam meningkatkan kemahiran pelajar negeri Terengganu.


TATIUC telah berjaya melatih seramai 144 pelajar yang baru selesai menduduki peperiksaan SPM 2010. TATIUC telah menjalankan 7 kursus dalam meningkatkan kemahiran para lepasan SPM antaranya Multimedia & Graphic Design, Milling & Turning Basics, Basic Industrial Design/Pelukis Pelan, Penyelenggaraan Kenderaan Bermotor, Basic Photography & Video Editing, PC Maintenance & Assembly dan Basic Electrical & Electronics.


Kolej Universiti TATI akan terus menjalankan fungsi sebagai gedung ilmu bagi melahirkan pelajar yang berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang. Ini sekaligus dapat memenuhi hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai golongan tenaga mahir di kalangan rakyat tempatan bagi menampung keperluan industri di negara ini. Dengan kepakaran dan kemudahan yang sedia ada, ini adalah amat diyakini bahawa matlamat untuk melahirkan lebih ramai teknokrat akan dapat dicapai.


Para peserta yang telah TATIUC lahirkan merupakan medium utama untuk mempromosikan institusi ini kepada masyarakat hari ini. Perkembangan positif dari semasa ke semasa telah banyak membantu kepada kemajuan Kolej Universiti TATI. Dalam kerancakan agenda pembangunan akedemik, TATIUC tidak sekali-kali meninggalkan aspek pembangunan modal insan. Para peserta ini telah dibekalkan dengan semangat dan prinsip jati diri yang tulen agar mereka ini mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.


Diharapkan program seperti ini akan diteruskan di TATIUC pada masa akan datang. Ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kursus ini. Kepada peserta kursus diucapkan selamat maju jaya semoga mendapat menyambung pelajaran yang lebih tinggi seterusnya dapat menyumbangkan sesuatu yang bermakna kepada keluarga dan masyarakat.

No comments:

Post a Comment