Wednesday, August 10, 2011

ARKIB : 20/07/2011

Graduan KUIM laris di luar negara

Oleh AMRAN MULUP

MELAKA 19 Julai – Graduan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) berjaya melahirkan modal insan berdaya saing bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga kebolehpasaran di peringkat global.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Yusoff Hashim berkata, ia terbukti apabila graduan Diploma Kejururawatan KUIM berjaya mendapat pekerjaan di beberapa negara seperti Jordan, Mesir dan Arab Saudi.

Menurut beliau, di samping itu graduan daripada kolej berkenaan turut menjadi tumpuan syarikat-syarikat tempatan dalam bidang hospitaliti, perniagaan, sains dan teknologi.

‘‘Pasaran graduan dari KUIM untuk memperoleh pekerjaan setelah tamat pengajian mereka amat luas bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr. Mohd. Yusoff, kecekapan dan kemahiran dalam melaksanakan tugasan yang diberikan merupakan faktor utama graduan dari kolej itu menjadi buruan majikan dalam sektor perindustrian.

Beliau berkata, kemahiran itu berjaya diserap kepada pelajar hasil daripada keberkesanan sesi pengajaran dan pembelajaran di samping tenaga pengajar berpengalaman.

Sehubungan itu, beliau berkata, berdasarkan statistik jumlah graduan yang akan menerima diploma dalam jurusan masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-15 KUIM minggu depan, menunjukkan peningkatan mendadak.

‘‘Sejak penubuhan KUIM 15 tahun lalu sebagai sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri setakat ini telah melahirkan lebih 4,000 mahasiswa,” ujarnya.

Bagi majlis konvokesyen yang akan diadakan di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini pada 28 Julai ini katanya, seramai 780 graduan akan menerima diploma masing-masing.

Graduan tersebut meliputi pelbagai bidang antaranya Pengajian Islam, Sastera dan Sains Sosial, Inovasi Perniagaan dan Perakaunan, Kejururawatan, Hospitaliti dan Sains Teknologi.

Majlis istiadat konvokesyen itu akan dirasmikan Canselor KUIM yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

No comments:

Post a Comment